KETUA Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe (kanan) dan Kapten Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat (kiri) pada sidang media Pra-Perlawanan Persahabatan Antarabangsa A Malaysia lawan Republik Kyrgystan di Hotel Equatorial, Banda Hilir. FOTO Khairunisah Lokman
KETUA Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe (kanan) dan Kapten Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat (kiri) pada sidang media Pra-Perlawanan Persahabatan Antarabangsa A Malaysia lawan Republik Kyrgystan di Hotel Equatorial, Banda Hilir. FOTO Khairunisah Lokman

Nazri Abu

MELAKA: Kapten pasukan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menganggap skuad negara mendapat sedikit kelebihan apabila berdepan Kyrgyzstan malam esok kerana beraksi di gelanggang sendiri.

Baginya, perlawanan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput mampu memberi motivasi buat pemain melayan lawan yang menampilkan skuad utama di Piala Asia 2019.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek, berkata apa saja kelebihan dan keistimewaan lawan harus dinafikan menerusi kesungguhan dan komitmen tinggi pemain selepas memperoleh kejayaan menumpaskan Sri Lanka.

"Pada masa sama, saya tetap menganggap saingan sebagai penjaga gol skuad Harimau Malaya tetap sengit menerusi kehadiran rakan sepasukan berwibawa di posisi itu.

"Namun, ia adalah persaingan sihat dalam menzahirkan persembahan positif bagi mengisi posisi penjaga gawang utama Harimau Malaya," katanya.

Katanya, semua pemain termasuk di posisi berkenaan berazam untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama negara di Piala AFF, justeru perlawanan itu adalah medan terbaik untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Selain Apek, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Muhammad Haziq Nadzli (Johor Darul Ta'zim) mengisi tiga nama sebagai benteng terakhir skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.

Mengulas saingan akhir AFF, kapten Melaka United (MU) itu berkata, Malaysia tetap berdepan ujian berliku dalam kumpulan Kumpulan A dibarisi Myanmar, Laos, Kemboja dan juara edisi 2008, Vietnam.

Walaupun dikatakan mendapat laluan mudah untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat kalah mati pada aksi November ini, Malaysia perlu waspada ancaman Kemboja dan Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 7:50 PM