Khairulazhan Khalid menjalani kuarantin kerana Covid-19. FOTO File NSTP
Khairulazhan Khalid menjalani kuarantin kerana Covid-19. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe sudah pastinya boleh menarik nafas lega apabila permohonan pertukaran penjaga gol akhirnya diluluskan oleh AFF.

Berita gembira itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar berdasarkan peraturan pertandingan sama ada di peringkat Fifa mahupun AFC, posisi penjaga gol mempunyai keistimewaan di mana pertukaran pemain boleh dilakukan jika berlaku kes-kes di luar jangka.

Beliau berkata, permohonan itu hanya terhad kepada posisi penjaga gol saja manakala penggantian pemain lain tidak dibenarkan walaupun dua pemain tonggak Harimau Malaya Khairulazhan dan tonggak sayap, Faizal Halim didapati positif Covid-19.

"Alhamdulillah permohonan kita diluluskan dan skuad Harimau Malaya boleh memanggil seorang lagi penjaga gol dalam masa terdekat ini.

"Siapa yang bakal menggantikan posisi berkenaan terpulanglah kepada Cheng Hoe. Berkaitan pemain posisi lain kita tidak akan memohon kepada AFF," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, posisi penjaga gol Harimau Malaya boleh dikatakan agak kritikal terutama selepas Khairul Fahmi Che Mat dilayangkan kad kuning pada pertemuan menentang Kemboja semalam.

Menurutnya, pemain terbabit berisiko digantung perlawanan jika menerima kad kuning pada perlawanan akan datang sekali gus hanya tinggal Kalamullah Al Hafiz.

"Kita akan umumkan nama pemain itu dalam masa terdekat ini namun perlu pastikan dahulu dia cukup bersedia untuk disenaraikan kelak.

"Barisan kejurulatihan akan berbincang mengenai pemain yang akan dibawa kelak. Kita agak bimbang posisi berkenaan kerana Apek (Khairul Fahmi Che Mat) sudah kena kad kuning sekali gus perlu cepat buat keputusan.

"Faizal akan dikekalkan dalam skuad Harimau Malaya dan berharap dia cepat sembuh.

"Memang ada dua penjaga gol yang akan disenarai pendek namun belum lagi di muktamad dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini," katanya.

Terdahulu, dua penjaga gol Samuel Somerville dan Azri Ghani dalam radar Cheng Hoe untuk dipanggil menggantikan Khairulazhan Khalid yang kini terpaksa diketepikan kerana Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:57 PM