KHAIRUL  teruja dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
KHAIRUL teruja dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Nazri Abu Bakar

PENJAGA gol Melaka United (MU), Khairul Fahmi Che Mat (Apek) teruja dipanggil menyertai skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan antarabangsa kelas A menentang Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 5 Julai ini.

Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek tersenarai dalam sesi latihan pusat di bawah bimbingan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersama 10 pemain bawah 25 tahun, selain 11 daripada 23 pemain yang beraksi dalam Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, 27 Mac lalu dan persahabatan bertemu Bhutan, 1 April lalu.

Apek bakal bersaing bersama penjaga gawang yang berada dalam senarai kali ini termasuk Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah) dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak).

Baginya, panggilan menyarung jersi skuad kebangsaan disifatkannya sebagai tuah anak ketiga yang baru dilahirkan pada Ramadan lalu yang turut dianggap rezeki berganda buatnya.

“Ini rezeki kelahiran anak ketiga buat kami sekeluarga dengan penampilan bersama MU sejak Mei lalu dianggap sebagai motivasi buat saya membantu kejayaan skuad negara.

“Saya perlu bekerja keras untuk berusaha merebut tempat dalam skuad terbabit dan akan memberi yang terbaik untuk terpilih ke Piala AFF.

“Saingan tetap sengit, apapun paling penting kekal fokus pada sesi latihan dan perlawanan persahabatan bagi membolehkannya tersenarai dalam kesebelasan pasukan kali ini,” katanya.

Menurutnya, gabungan pemain muda dan berpengalaman dilihat mampu untuk membentuk persembahan yang positif buat skuad negara mencipta kejayaan.

Justeru, dia juga mengharapkan beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa menjadi pentas terbaik untuk membina keserasian menjelang perlawanan di Piala AFF kelak.

Selepas aksi menentang Fiji, Harimau Malaya dijadualkan mengharungi lima lagi aksi persahabatan kelas A bertemu Taiwan (7 September), Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober), Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November).

Kesemua perlawanan ini sebagai persiapan bagi menghadapi Piala AFF 2018 yang bakal berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 1:45 PM