Oleh Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Walaupun menempuh pelbagai cabaran dan tohmahan, pelakon Datuk Hans Issac menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kita Budak Ampang (KBA) tetap meneruskan usaha membantu masyarakat yang memerlukan dengan menggunakan sumber kewangan sendiri.

Hans yang juga Pengerusi KBA berkata, di sebalik pergolakan politik negara, KBA tetap kekal dengan agenda sebagai ejen kebajikan masyarakat.

Katanya, semalam KBA memberi bantuan barang keperluan asas kepada beberapa keluarga di sekitar Kampung Muhibbah Lembah Jaya Utara dan Kampung Indah Lembah Jaya Selatan, Ampang.

"Kami berharap lebih ramai akan turut bersama dalam memberikan sumbangan seperti ini. Niat kami adalah untuk mengumpul semua tenaga tanpa mengira bangsa dan agama untuk agenda membantu masyarakat," katanya.

Menurut Hans, sejak penubuhan KBA, mereka tidak pernah mengharapkan sumbangan atau bantuan pihak luar.

"Sejak dari awal lagi saya dan pasukan KBA mengerah tenaga dengan kudrat dan menggunakan sumber kewangan sendiri untuk menjalankan aktiviti kebajikan tanpa mengharapkan sumbangan dan bantuan luar. "Semoga usaha ini dapat diteruskan dengan sokongan dan kepercayaan semua masyarakat. Kalau bukan kita, siapa lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 2:40 PM