SUASANA tegang membabitkan pemain Marseille dan Olympique dan Montpellier di Stadium Velodrome. - FOTO AFP
SUASANA tegang membabitkan pemain Marseille dan Olympique dan Montpellier di Stadium Velodrome. - FOTO AFP
Reuters

OLYMPIQUE de Marseille terlepas peluang memintas Paris St Germain di puncak Ligue 1 selepas hanya mampu seri 1-1 di tempat sendiri ketika menentang Montpellier yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan pada babak akhir perlawanan, awal pagi tadi.

Montpellier meletakkan pelawat di hadapan selepas 17 minit permainan bermula apabila pertahanan Marseille, Bouna Sarr menjaringkan gol sendiri manakala dua jaringan penyerang, Andy Delort dibatalkan selepas reviu VAR mendapati dia offsaid terlebih dahulu.

Valere Germain menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-74 hasil tolakan dalam kotak penalti ketika pertahanan pelawat bergelut di atas padang licin akibat hujan.

Aksi bertukar tegang pada babak akhir permainan apabila pemain Marseille, Boubacar Kamara dan pemain Montpellier, Jordan Ferri terbabit pertelagahan dan kedua-duanya dilayangkan kad merah pada masa tambahan.

Pemain tengah Marseille, Dimitri Payet turut diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua, pertama selepas melakukan kekasaran dan kedua membantah keputusan pengadil.

Marseille kini di tangga ketiga Ligue 1 dengan 11 mata daripada enam perlawanan manakala Nice kedua dengan 12 mata.

Juara bertahan, PSG di puncak liga dengan 12 mata dengan mempunyai jumlah gol lebih baik dan mereka berpeluang mengukuhkan kedudukan apabila berkunjung ke Olympique Lyonnais malam ini.

AS Monaco pula hanya mampu seri 0-0 di Stade de Reims sekali gus menyaksikan juara 2017 itu terperosok di zon penyingkiran dengan hanya tiga mata daripada enam perlawanan dan tanpa kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 10:21 AM