BROZOVIC meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
BROZOVIC meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
AFP

MILAN: Pemain Croatia, Marcelo Brozovic meledak gol pada lewat permainan untuk menghadiahkan Inter Milan kemenangan 1-0 ke atas Sampdoria dalam aksi Serie A penuh kelam kabut yang menyaksikan tiga gol tidak disahkan, awal pagi tadi.

Kemenangan itu mengikuti aksi baik mereka di pentas Liga Juara-Juara, minggu ini susulan kemenangan ke atas Tottenham dengan wira Piala Dunia Croatia, Brozovic menyumbat gol kemenangan, empat minit memasuki masa kecederaan babak kedua.

Inter berjaya memecah kebuntuan, tetapi kedua-dua jaringan Radja Nainggolan dan Kwadwo Asamoah dibatalkan, manakala gol Sampdoria menerusi Gregoire Defrel turut dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Jurulatih Inter, Luciano Spalletti juga diarah keluar dari garisan tepi gol oleh pegawai perlawanan susulan reaksi melampaunya ketika meraihkan gol kemenangan.

“Saya berlari ke arah kamera dan menjerit ‘gol’ dan pegawai perlawanan keempat memberitahu saya ia dilakukan dengan begitu banyak tenaga,” kata Spalletti kepada DAZN. 

“Ia adalah gol yang penting, seperti pembebasan. Kami bermain dengan karektor yang hebat, sentiasa berada dalam perlawanan dan berjuang untuk setiap bola.” 

Pada aksi Liga Juara-Juara menentang wakil Inggeris, Tottenham, Rabu lalu, Inter mencatat kemenangan 2-1 selepas bangkit daripada ketinggalan pada lewat perlawanan sebelum menang.

Tiga mata itu begitupun hanyalah kemenangan kedua direkodkan Inter dalam kancah Serie A musim ini untuk mendaki ke tangga ketujuh liga, selepas mengumpul tujuh mata daripada lima perlawanan.

Dalam aksi lebih awal, Fiorentina mendaki tangga kedua susulan kemenangan 3-0 ke atas SPAL, manakala Parma menewaskan Cagliari 2-0 dengan bekas penyerang Arsenal, Gervinho turut meledak gol menakjubkan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 8:16 AM