AKSI kapten Inter Milan, Mauro Icardi (kanan) bersaing dengan Leandro Castan (kiri). - Foto AFP
AKSI kapten Inter Milan, Mauro Icardi (kanan) bersaing dengan Leandro Castan (kiri). - Foto AFP
AFP

MILAN: Mauro Icardi menjaringkan gol ke-25 dalam kempen Serie A dan membantu Inter Milan menewaskan Cagliari 4-0 sekali gus melonjak pada kedudukan ketiga dan meletakkan tekanan pada Lazio serta Roma yang turut bertarung untuk mendapat tempat di Liga Juara-Juara.

Inter tidak menjaringkan atau memenangi tiga perlawanan terakhir mereka tetapi Joao Cancelo berjaya menamatkan kemarau itu di Stadium San Siro selepas hanya tiga minit perlawanan bermula dengan sepakan bebas.

Icardi yang juga penjaring terbanyak Inter, menjaringkan gol kedua selepas waktu rehat dengan Marcelo Brozovic menambah jaringan ketiga pada minit 60 sementara Ivan Perisic melengkapkan gol keempat pada minit terakhir perlawanan.

"Selepas mendapatkan keputusan, bola bergerak di tempo yang betul, di mana sebelum ini kami tidak mendapat rentak yang diingini," kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti.

"Sekali kami mempunyai permainan yang bagus, saya sukakan pasukan ini.

Ini adalah persembahan dominan yang dipamerkan oleh bekas gergasi Eropah itu yang kini tiada pilihan kecuali mencatat kemenangan untuk mencapai sasaran kembali ke kancah Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2012.

Skuad Spalletti kembali naik ke tempat ketiga dengan 63 mata daripada 33 perlawanan sementara Roma dan Lazio kedua-duanya mempunyai 61 mata, dengan mereka masing-masing akan bertemu Genoa dan Fiorentina pada awal pagi esok.

Penyerang Perancis, Yann Karamoh terlepas dua peluang keemasan di depan gol dengan tuan rumah kehilangan pemain tengah, Roberto Gagliardini yang terpaksa diusung keluar daripada padang berikutan masalah hamstring.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 10:56 AM