SERGIO AGUERO
SERGIO AGUERO
Agensi

MANCHESTER: Penyerang Manchester City, Sergio Aguero menjelaskan keadaan kecergasannya kini berada di tahap terbaik sepanjang kariernya selepas menjalani pembedahan lutut pada April lalu.

Aguero membolot gelaran ketiga Liga Perdana Inggeris pada kempen 2017-18 tetapi terlepas baki akhir musim lalu gara-gara perlu menjalani pembedahan.

Penyerang Argentina berusia 30 tahun itu yang memecahkan rekod penjaring City pada November lalu, meledak dua gol sewaktu mengatasi Chelsea dalam pertarungan Perisai Komuniti diikuti tiga gol ketika berdepan Huddersfield, bulan lalu.

“Saya berasa hebat,” katanya. “Saya tidak rasakan sebarang keadaan tidak selesa.”

Aguero menyertai City daripada Atletico Madrid pada Julai 2011 dan kini sudah melepasi angka 200 gol untuk kelab berkenaan.

Aksi terakhirnya musim lalu hadir ketika kekalahan Liga Juara-Juara kepada Liverpool pada 10 April, tetapi dia kembali untuk Piala Dunia Russia 2018 dan menjaringkan dua gol buat Argentina yang mara ke pusingan 16 terakhir sebelum tewas di tangan Perancis.

“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, saya merasa kesakitan dan apabila musim lalu berada di penghujungnya, saya putuskan ia masa paling sesuai untuk memulakan rawatan. Dan keputusannya begitu positif,” katanya kepada laman web City.

“Dr (Ramon) Cugat melakukan kaedah rawatan terbaik dalam menangani masalah lutut saya. Saya tidak pasti sama ada ia permulaan musim yang terbaik, tetapi saya rasa ia (keadaan) terbaik pernah dirasakan saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”  

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 8:48 AM