AGUERO sudah bersedia galas cabaran Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
AGUERO sudah bersedia galas cabaran Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
AFP

BUENOS AIRES: Penyerang Argentina, Sergio Aguero berkata hari ini dia berasa “seperti baru” dan sudah bersedia untuk bermain “Piala Dunia terbaik” di Russia walaupun bergelut sejak kebelakangan ini akibat kecederaan lutut.

Pemain berusia 29 tahun itu tidak bermain buat Manchester City sejak kekalahan suku akhir Liga Juara-Juara kepada Liverpool pada 10 April dan jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli memiliki banyak pilihan di bahagian serangan yang boleh dipilih sebelum menamakan skuad Piala Dunia.

“Lutut saya seperti baharu, saya sentiasa ada masalah... tapi sekarang saya rasa berbeza, saya boleh membengkokkannya dan ia satu kelegaan,” katanya kepada saluran TV Argentina, TyC.

Aguero sudah bermain 84 kali sejak penampilan pertama pada 2006, menjaringkan 36 gol, namun berdepan saingan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Sampaoli.

Dengan tempat Lionel Messi sudah disahkan, Aguero perlu berdepan cabaran pasangan Juventus, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala; penyerang Roma, Diego Perotti serta pemain Inter Milan, Mauro Icardi.

Walaupun tidak pernah menjaringkan gol dalam lapan perlawanan terakhir Piala Dunia sebelum ini, Aguero menegaskan dia sudah bersedia menghadapi “Piala Dunia terbaik.”

Juara dua kali itu diberikan undian sukar bersama Croatia, Nigeria dan Iceland dalam Kumpulan D, dengan perlawanan pembukaan berdepan negara Scandinavia itu di Moscow pada 16 Jun. - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 8:09 AM