TCFC perlu kukuhkan kewangan kelab jika mahu ke Liga Perdana. FOTO/FAIL
TCFC perlu kukuhkan kewangan kelab jika mahu ke Liga Perdana. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor

 

JUARA Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Terengganu City FC (TCFC) perlu mengukuhkan kewangan kelab sekiranya mahu meneruskan hasrat untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim depan.

Ia termasuk menyelesaikan segala ‘hutang’ membabitkan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak kepada enam pemain mereka berjumlah RM283,000, seperti yang diumumkan Jawatankuasa Status FAM pada Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menjelaskan semua pasukan perlu memiliki kewangan yang kukuh dan bebas daripada isu tunggakan gaji untuk mendapatkan lesen sebelum layak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Kevin bagaimanapun berkata, keputusan sama ada Terengganu City boleh dibenarkan bersaing dalam Liga Perdana atau tidak hanya akan ditentukan oleh FAM.

“Saya percaya FAM akan membuat keputusan yang paling tepat terutama dalam menilai sama ada sesebuah pasukan itu mampu atau tidak dari aspek kewangan untuk bersaing dalam Liga Perdana,” kata Kevin.

“Sudah tentu semua pasukan diwajibkan (mendapatkan lesen kelab), seperti yang saya katakan sebelum ini ia akan menukar wajah bola sepak kita untuk masa akan datang.

“Pelesenan kelab bukan satu perkara yang boleh diambil ringan dan boleh di capai semua pasukan, memang akan ada pasukan berdepan masalah. Tapi apakan daya ini yang kita perlu lakukan untuk memastikan kestabilan Liga M.” 

Semalam, NTSP melaporkan skuad TCFC belum membuat keputusan sama ada akan beraksi dalam saingan Liga Perdana atau tidak musim depan, walaupun berjaya melangkah ke saingan itu bersama skuad Selangor United selepas mara ke final.

Namun, faktor kewangan dilihat bakal menjadi halangan utama buat kelab dari Pantai Timur itu beraksi di Liga Perdana yang sememangnya memerlukan dana jutaan ringgit termasuk dalam mendapatkan pemain import. 

Lebih parah, skuad itu juga dilaporkan tidak akan mendapat penajaan kerajaan negeri Terengganu dan ia sudah dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 12:03 AM