DJOKOVIC bersalaman dengan   Isner  selepas tamat perlawanan di Shanghai. - FOTO AFP
DJOKOVIC bersalaman dengan Isner selepas tamat perlawanan di Shanghai. - FOTO AFP
Reuters

PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic mempamerkan aksi mengagumkan ketika menewaskan pemain Amerika Syarikat, John Isner 7-5, 6-3 untuk mara ke suku akhir Masters Shanghai, hari ini.

Djokovic yang hadir ke Shanghai selepas menjuarai Terbuka Jepun di Tokyo pada Ahad lalu tidak kehilangan servis sepanjang tempoh 75 minit perlawanan dan memanfaatkan kedua-dua mata ‘break’ ketika menentang lawannya yang terkenal dengan servis kencang itu.

"Memang satu cabaran mengembalikan servis Isner,” kata Djokovic terhadap lawannya yang berketinggian 6 kaki 10 inci itu. “Dia salah seorang pemain yang memiliki servis kencang sepanjang zaman. Dengan ketinggian itu, servis adalah senjata dan kelebihan besar kepadanya.

"Tetapi saya berjaya membaca servisnya dengan berada di posisi betul untuk mengembalikannya.”

Djokovic akan menentang pilihan keenam dari Greece, Stefanos Tsitsipas yang menewaskan pemain Poland, Hubert Hurkacz 7-5, 3-6, 7-6(5) dalam satu-satunya perlawanan yang berlanjutan tiga set hari ini.

Sementara itu, juara dua kali Roger Federer yang tidak menampilkan aksi terbaik masih mampu mengatasi cabaran pemain Belgium, David Goffin 7-6(7), 6-4. Federer melakukan 40 kesilapan tetapi menyelamatkan lima mata akhir pada set pertama.

Bintang Switzerland itu akan menentang pilihan kelima dari Jerman, Alexander Zverev yang menewaskan Andrey Rublev 6-0, 7-6(4) dalam masa 84 minit.

Pilihan ketiga, Daniil Medvedev turut mara menewaskan pemain Kanada, Vasek Pospisil 7-6(7), 7-5 manakala pilihan keempat, Dominic Thiem mengatasi pemain Georgia, Nikoloz Basilashvili, 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 12:09 AM