PEMAIN Chelsea, Eden Hazard. FOTO AFP
PEMAIN Chelsea, Eden Hazard. FOTO AFP
AFP

LONDON: Eden Hazard masuk dari bangku simpanan untuk mencetuskan kemenangan dramatik 3-2 Chelsea ke atas Arsenal, awal pagi tadi, sebelum memberitahu pengurusnya, Maurizio Sarri dia sudah tidak sabar untuk disenaraikan semula dalam kesebelasan utama.

Hazard diletakkan di bangku simpanan dalam dua aksi pertama The Blues kempen ini selepas tonggak sayap Belgium itu hanya kembali menyertai latihan awal bulan ini berikutan Piala Dunia.

Namun, Hazard begitu berharap untuk diturunkan sepanjang permainan dan percaya impak yang dicetuskannya sebagai pemain gantian ketika berdepan Huddersfield dan terbaru Arsenal membuktikannya.

Dia mengumpan gol sewaktu Chelsea menumpaskan Huddersfield 3-0 minggu lalu dan memastikan rekod bersih Sarri diteruskan di Stamford Bridge pagi tadi apabila hantaran lintangnya menghasilkan gol kemenangan Marcos Alonso pada minit ke-81 ke atas Arsenal.

“Ia lebih baik untuk berada di dalam padang berbanding melihatnya dari bangku simpanan, tetapi rakan sepasukan yang diturunkan beraksi baik, jadi saya tetap gembira dengan kemenangan,” kata Hazard.

Dikaitkan dengan Real Madrid sepanjang musim panas lalu, Hazard diberitahu bahawa dia bukan untuk dijual.

Ditanya mengenai kesan dibawa Sarri ke Stamford Bridge, Hazard berkata dia begitu mengagumi komitmen tinggi dan gaya serangan diterapkan pengendali dari Itali itu.

“Beliau adalah pengurus yang mahu pemainnya memegang dan mengawal bola. Ia bukan cerita yang sengaja saya reka,” katanya.

“Saya mahu beraksi dan mendapat bola sebanyak mungkin dan kita mempunyai pemain yang boleh mencetuskan magis.” – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 9:09 AM