PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO Rasul Azli Samad
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO Rasul Azli Samad
Aziman Rosdi


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berharap keputusan yang akan diputuskan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) susulan insiden pergaduhan pada aksi persahabatan antara skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Ahad lalu, memihak mereka.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan insiden pergaduhan membabitkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan di penghujung perlawanan itu kadang-kala boleh berlaku di luar kawalan.

Malah beliau yakin, pembabitan anak buah Datuk Ong Kim Swee dalam insiden terbabit hanya atas dasar untuk mempertahankan diri selepas diserang oleh pemain dan pegawai pasukan pelawat.

“Saya kira insiden di Shah Alam itu kadang-kadang 10 tahun sekali boleh berlaku, jadi kita tak boleh elakkan, saya ada di stadium ketika itu dan melihat pemain kita mempunyai semangat kesukanan yang tinggi tetapi terpaksa bertindak balas semula atas dasar mempertahankan diri.

“Namun, saya harap ini satu iktibar kepada pasukan kita untuk lebih berhati-hati dalam situasi ini.

“Ada banyak pihak mengatakan mungkin mereka (pemain UAE) dalam keadaan tertekan apabila kalah dan mereka tak perlu menyerang pemain kita, jadi kita berharap pemain tak terikut-ikut dan melupakan insiden itu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menyaksikan sesi latihan skuad B-23, hari ini.

Aksi panas tercetus di Stadium Shah Alam apabila pemain dan pegawai UAE ‘mengganas’ dengan menyerang pemain Malaysia selepas insiden kekasaran berlaku di dalam padang.

FAM sudah menghantar laporan kepada AFC dan Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John dalam laporan Sukan NSTP hari ini menegaskan pihaknya bersedia mengambil tindakan termasuk menggantung mana-mana pemain dan pegawai yang terbabit dalam pergaduhan itu.

Ketika ditanya kemungkinan keputusan mengenai insiden itu hanya akan diketahui selepas Sukan Asia, Hamidin berkata mereka menyerahkan semua kepada AFC.

“Kita  menghantar laporan seperti diminta AFC, saya sudah berbincang dengan Datuk Windsor, saya harap buat sementara ini mungkin kita harap keputusan yang baik.

“Apapun kita terima sebarang keputusan kalau keputusan itu kita perlu pertahankan kita kena pertahankan, buat sementara ini kita harap keputusan untuk menyebelahi kita,” katanya.

Hamidin berharap insiden itu tidak akan menjejaskan fokus pemain dan beliau percaya skuad kendalian Kim Swee mampu melakukan kejutan untuk cuba melangkah jauh dalam kempen Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 8:41 PM