Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Hanya apabila FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sudah tidak berfungsi sebagai badan bebas untuk menguruskan bola sepak tanah air, baru FIFA akan mengkaji kedudukan FAM,” kata Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John (gambar) mengenai nasib yang bakal dialami FAM selepas kekalutan dialami badan induk itu.

Ada pihak menganggap FAM kini dalam bahaya jika mereka digantung Pesuruhjaya Sukan susulan insiden kekecohan Ultras Malaya di Stadium Shah Alam, Selasa lalu namun Windsor menjelaskan FIFA tidak akan membuat keputusan terburu-buru sehingga menggantung FAM tanpa mendapat gambaran sebenar.

“Sama ada tindakan Pesuruhjaya Sukan itu dianggap campur tangan atau tidak, kita kena kaji dulu. Banyak perkara perlu diperhalusi.

“Hanya FAM boleh melaporkan kepada FIFA mengenai masalah dialami dan jika mereka sudah tidak berfungsi maka barulah FIFA membuat siasatan. Kadang-kadang persatuan sukan (FAM) memang ada bekerjasama dengan kerajaan dalam bola sepak, jadi adakah itu dianggap kerjasama atau campur tangan kerajaan?

“Masih banyak prosedur perlu dilakukan sebelum sesuatu tindakan akan diambil FIFA,” kata Windsor kepada Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:29 AM