Zii Jia mara ke final. FOTO HM Digital
Zii Jia mara ke final. FOTO HM Digital
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan Terbuka Taiwan apabila dia berjaya mara ke perlawanan akhir hari ini.

Zii Jia melakar pencapaian paling baik dalam kariernya apabila bangkit daripada kalah set pertama sebelum menundukkan pemain nombor empat dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan 17-21, 21-14, 24-22 dalam masa satu jam 20 minit di Taipei.

Pemain kelahiran Alor Setar itu turun ke gelanggang buat kali pertama selepas mengalami kecederaan belakang dan tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kemenangannya hari ini.

“Ada satu lagi perlawanan yang perlu ditempuhi dan saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Saya tidak meraikan kemenangan hari ini kerana mahu terus kekal fokus.

“Saya sedar mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan dan terus menyambarnya. Apa yang pasti saya mula merasai kesan susulan perlawanan ini kerana terlalu lama dan memenatkan.

“Saya perlu mendapatkan sedikit rehat dan bersedia untuk memberikan segala-galanya bagi perlawanan esok,” kata Zii Jia yang kali terakhir merangkul kejuaraan pada Cabaran Antarabangsa Poland tahun lalu.

Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-60 dunia, akan berdepan pemain muda Jepun, Riichi Takeshita pada perlawanan akhir esok.

Sebelum itu, Takeshita berjaya mengejutkan pilihan kelima dari Denmark, Jan O Jorgensen 21-17, 16-21, 26-24.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah terkandas pada separuh akhir apabila kalah 16-21, 19-21 di tangan pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan.

“Kepantasan dan kekuatan keseluruhan Tzu Ying terlalu jauh lebih baik berbanding saya. Dia memiliki kelebihan sejak awal. Apa yang saya belajar apabila berdepan dengannya beberapa kali adalah kepantasan menjadi kunci utama,” kata Soniia yang tumpas buat kali kelima berturut-turut kepada pemain tuan rumah itu.

Perjalanan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei juga berakhir apabila kalah 21-12, 18-21, 12-21 kepada pasangan tuan rumah, Yang Po Hsuan-Wu Ti Jung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 7:41 PM