Kuala Lumpur: Juara kebangsaan, Lim Chi Wing (gambar) mengaku belum berpuas hati dengan prestasinya di Cabaran Antarabangsa Thailand walaupun berjaya menempah ke pusingan ketiga selepas menumpaskan rakan senegara Tee Kai Wun semalam.

Chi Wing mengambil masa 30 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-12 ke atas Kai Wun dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tung Jang, Trang itu.

“Antara faktor yang membantu kemenangan saya ke atas Tee adalah disebabkan dia baru saja beraksi dalam dua kejohanan remaja dan Cabaran Antarabangsa. Mungkin dari segi fizikal dia tidak setanding saya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasinya.

“Saya masih belum mendapat rentak dan kurang sabar di dalam gelanggang sehingga menyebabkan berlakunya beberapa kesilapan mudah. Esok (hari ini) saya akan berdepan pemain Thailand (Saran Jamsri) dan berjanji akan memberikan persembahan lebih baik,” katanya.

Turut mara dalam acara perseorangan lelaki ialah Cheam June Wei yang mengalahkan wakil tuan rumah, Noppanai Singrueang 21-11, 21-18, manakala Soo Teck Zhi mengalahkan C Rohit Yadav (India) 21-17, 21-9.

Bagi saingan perseorangan wanita, M Thinaah berjaya ke pusingan kedua selepas menumpaskan Aakarshi Kashyap dari India 21-11, 21-18, manakala S Kisona mengetepikan pemain tuan rumah, Chananchida Jucharoen 21-11, 21-18 dan pilihan keenam, Lim Yin Fun mengalahkan Piramon Chamnaktari (Thailand) 21-11, 21-18.

Aksi sulung gandingan baru beregu wanita, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi juga cemerlang apabila menang 21-13, 21-17 ke atas pasangan tuan rumah, Pattaranan Chamnaktan-Suchanya Kanchanasaka 21-13, 21-17.

Wakil beregu campuran negara Chen Tang Jie-Tew Jia Jia dan Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei tidak berdepan masalah untuk ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan tuan rumah, Chaloempon Charoenkitamorn-Chasinee Korepap 16-21, 21-16, 21-19 dan Mek Narongrit-Supanida Katethong 16-21, 21-14, 22-20.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 8:54 AM