DOLLAH tetap optimis untuk merebut tempat kedua Liga Super. FOTO/FAIL
DOLLAH tetap optimis untuk merebut tempat kedua Liga Super. FOTO/FAIL
Asrol Awang


PAHANG mahu menamatkan badi seri dalam tiga perlawanan berturut-turut apabila melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pemain perancang skuad berkenaan, Nor Azam Azih berkata, sasaran itu diharap dapat dicapai apabila mereka kembali beraksi di laman sendiri.

“Kami akui sukar buat pasukan untuk mencatat kemenangan selepas muncul juara Piala FA. Faktor kecederaan dialami beberapa pemain utama juga memberi kesan terhadap persembahan pasukan.

“Tetapi, kami tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan kerana kemenangan juga penting untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik musim ini.

“Walaupun misi menjulang Piala Liga Super sudah berakhir, tempat kedua liga masih menjadi keutamaan pasukan dalam dua baki perlawanan,” katanya di sini, hari ini.

Tiga keputusan seri yang dialami skuad kendalian Dollah Salleh itu membabitkan pertemuan dengan PKNP FC yang berkesudahan 0-0, Perak (1-1) dan Melaka United (2-2).

Ditanya peluang menewaskan PKNS malam esok, Nor Azam berkata, kebangkitan dilakukan kelab dari Selangor itu yang kini menduduki tangga ketiga liga perlu diberi perhatian.

Katanya, pencapaian skuad kendalian Datuk K Rajagobal tidak boleh dipandang mudah.

“Kami akan kembali pada prestasi lebih baik terutama memastikan jentera serangan lebih tajam untuk mencatat kemenangan.

“Pada masa sama, misi tiga mata itu juga untuk memastikan penamat terbaik skuad Tok gajah musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 4:27 PM