DOLLAH mengharapkan anak buahnya mengekalkan fokus sepanjang 90 minit perlawanan. FOTO ASROL AWANG
DOLLAH mengharapkan anak buahnya mengekalkan fokus sepanjang 90 minit perlawanan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC tidak boleh kehilangan mata dan perlu mencatat kemenangan apabila berdepan PJ City FC di Stadium Darul Makmur, malam esok. Itu misi ketua jurulatih pasukan, Dollah Salleh selepas Sri Pahang sekadar mengutip dua mata pada dua perlawanan ketika seri dengan Melaka United (1-1) dan Sabah FC (2-2).

"Kami perlu menang untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super ketika ini memandangkan Sri Pahang berada di kedudukan ke-10.

"Dua keputusan seri sudah cukup memberi kesan dan kemenangan ke atas Pj City adalah yang terbaik untuk mengelak daripada berada di zon penyingkiran.

"Pada masa sama, hanya satu mata yang memisahkan kedudukan Sri Pahang dengan Perak FC," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Justeru, beliau mengharapkan anak buahnya mengekalkan fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak mengulangi kesilapan yang boleh mengecewakan pasukan.

Katanya, kesilapan yang dilakukan pada dua perlawanan lalu ialah anak buahnya hilang tumpuan pada minit akhir perlawanan yang menyebabkan pasukan itu kehilangan tiga mata.

"Jika dilihat kepada keputusan tiga perlawanan berturut-turut, kesilapan sama masih dilakukan pemain di penghujung babak kedua kecuali berdepan Perak, kami beroleh kemenangan.

"Namun, berdepan Melaka United dan Sabah FC, ketika mendahului dan mampu mengutip tiga mata, jaringan minit terakhir lawan menyebabkan keputusan seri yang diraih.

"Oleh itu, saya mengharapkan pemain lebih berdisplin sepanjang tempoh perlawanan untuk memastikan kemenangan milik Sri Pahang," katanya.

Selepas mengharungi 14 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ke-10 Liga Super dengan 14 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 3:06 PM