CHIN Chai ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia. -Foto BERNAMA
CHIN Chai ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia. -Foto BERNAMA
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai percaya peluang Malaysia untuk memiliki pemain bergelar juara dunia buat kali pertama mampu menjadi kenyataan tahun ini dengan fokus pastinya terarah kepada Datuk Lee Chong Wei.

Chin Chai berkata, tahun ini adalah peluang terbaik buat pemain nombor dua dunia berkenaan meraih gelaran sulung juara dunia selepas tiga kali sekadar muncul naib juara pada edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.

Berdasarkan undian yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Chong Wei akan berdepan pemain Perancis, Brice Leverdez di pusingan pertama - lawan sama yang menyingkirkannya di pusingan pertama edisi tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Bagaimanapun, Chin Chai yakin Chong Wei pasti mampu mengalahkan Leverdez kali ini.

“Undian Chong Wei nampak sukar di setiap pusingan tetapi lebih mudah apabila memasuki suku akhir. Seperti yang kita tahu, Chong Wei akan berdepan Leverdez di pusingan pertama, lawan sama yang menewaskannya tahun lalu.

“Saya yakin dia akan melepasi pusingan pertama dan besar kemungkinan bertemu pemain Indonesia, Anthony Ginting, lawan yang kuat juga. Jadi, adalah penting untuk Chong Wei melakukan persiapan dan membuat analisis mengenai cara menewaskan Leverdez dan Ginting.

“Jika dia berjaya menewaskan kedua-dua lawan itu dalam dua pusingan pertama, saya fikir tiada masalah untuk dia melangkah sehingga ke separuh akhir,” kata Chin Chai.

Chong Wei yang dilihat masih kekal konsisten biarpun bakal menjangkau usia 36 tahun Oktober depan dijangka berdepan cabaran sebenar di separuh akhir dengan bintang muda Jepun, Kento Momota hampir pasti menjadi lawannya.

Mengulas mengenai pertembungan dengan Momota, Chin Chai berkata: “Saya sebenarnya gembira Chong Wei menentang Momota di separuh akhir kerana sasaran utama Chong Wei adalah menjadi juara dunia.

“Tidak guna untuk dia ke sana tetapi sekali lagi muncul naib juara. Jadi, untuk menjadi juara dunia dia perlu menewaskan Momota di separuh akhir dan akan berdepan lawan yang berbeza di final,” kata Chin Chai.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:52 PM