Mat Zan (kiri), Tang Siew Seng (belakang) bersama Razip Ismail (kanan) menziarahi Kwai Lam pada April lalu. FOTO Ihsan CKL
Mat Zan (kiri), Tang Siew Seng (belakang) bersama Razip Ismail (kanan) menziarahi Kwai Lam pada April lalu. FOTO Ihsan CKL
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: "Beliau sudah meninggalkan kita tapi semangatnya terhadap bola sepak di negara ini akan kekal bersama kita semua,” kata Mat Zan Mat Aris selepas mendapat perkhabaran menyedihkan mengenai bekas jurulatih bola sepak skuad kebangsaan, Chow Kwai Lam yang meninggal dunia hari ini.

Kwai Lam, 76, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi di Hospital Ampang, Selangor selepas mengalami masalah kegagalan buah pinggang.

Menurut Mat Zan yang pernah menganggotai skuad Kuala Lumpur di bawah kendalian Kwai Lam ketika merangkul kejuaraan Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut sejak 1987, sumbangan mendiang terhadap bola sepak tanah air cukup besar.

"Selama beliau melatih Kuala Lumpur, memang saya bersama pasukan itu, jadi banyak pengalaman saya bersamanya dan paling manis sudah pasti kejayaan memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Beliau memang jurulatih yang menitikberatkan soal disiplin, kalau pemain muda memang takut dengannya, mereka anggap beliau garang. Tapi apa yang diterapkannya banyak membantu pemain untuk menjadi lebih baik," kata bekas pemain kebangsaan itu ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Mat Zan yang menyarung jersi Kuala Lumpur 1980-1992 sempat bertemu dengan Kwai Lam pada 5 April lalu dan terharu dengan semangat yang ada pada mendiang.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya pada April lalu, ketika itu saya dengan beberapa bekas pemain pergi menziarahinya yang sedang sakit. Tapi beliau seperti biasa, berborak tentang bola sepak dan memberikan nasihat serta pesanan supaya terus membantu menaikkan bola sepak negara.

"Beliau memang berharap sangat bola sepak Malaysia berada di tahap tertinggi suatu hari nanti," katanya yang pernah membimbing Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka United.

Mendiang Kwai Lam, menyarung jersi kebangsaan pada 1965 hingga 1971 dan menjadi kapten untuk skuad Pestabola Merdeka 1965.

Beliau juga menjadi jurulatih kebangsaan pada 1978 sebelum melatih Selangor bermula 1979 hingga 1983. 

Kwai Lam turut berpengalaman melatih Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, pasukan bawah 23 tahun negara dan kelab Singapura, Tampines Rovers serta Paya Lebar Punggol.

Bagaimanapun detik paling gemilang mendiang adalah ketika membawa Kuala Lumpur memenangi tiga kejuaraan Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut (1987-1989), satu kejuaraan liga (1988), naib juara Piala FA (1992) dan juara Piala Sumbangsih dua kali (1988 dan 1995).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 4:51 PM