CHOW Kwai Lam menghembuskan nafas terakhir 11 pagi hari ini. FOTO Arkib NSTP.
CHOW Kwai Lam menghembuskan nafas terakhir 11 pagi hari ini. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

BEKAS ketua jurulatih pasukan bola sepak negara, Chow Kwai Lam meninggal dunia, hari ini akibat sakit tua.

Kwai Lam, 76, menghembuskan nafas terakhir pada 11 pagi di Hospital Ampang Puteri di samping anggota keluarga.

“Ayah saya meninggal dengan tenang. Semua anak dan ahli keluarga ada bersamanya,” kata Carey, anak sulung mendiang, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Carey berkata, ayahnya dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Mendiang Kwai Lam, adalah pemain bola sepak kebangsaan era 1960-an hingga awal 1970-an dan pernah menjadi ketua jurulatih pasukan Malaysia, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, pasukan bawah 23 tahun Malaysia dan kelab Singapura, Tampines Rovers serta Paya Lebar Punggol.

Beliau membimbing pasukan Kuala Lumpur memenangi tiga kejuaraan Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut pada musim 1987, 1988 dan 1989.

Selain itu, dia turut membantu pasukan itu memenangi satu kejuaraan liga, naib juara Piala FA dan juara Piala Sumbangsih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 2:32 PM