DOLLAH Salleh. FOTO arkib NSTP
DOLLAH Salleh. FOTO arkib NSTP
Muhd Fitrie Muhamad; Firdaus Hashim dan Syafiq Aznan

 

SECARA peribadi, pengendali Pahang, Dollah Salleh merasakan satu kerugian sekiranya Pahang tidak beraksi di pertandingan peringkat Asia musim depan.

Mengikut kelayakan, Pahang meraih satu ‘tiket’ ke pertandingan peringkat Asia selepas menjuarai Piala FA dengan menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Bagaimanapun, impian melihat Tok Gajah beraksi di peringkat tertinggi semuanya bergantung kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sama ada mahu membuat rayuan atau sebaliknya terhadap penggantungan dua tahun yang dikenakan sebelum ini.

“Itu saya serahkan kepada pengurusan (buat rayuan). Secara peribadi, saya mahu beraksi di pertandingan itu kerana saya lihat pasukan ini ada ramai pemain berkualiti.

“Saya rasa jika dapat beraksi, kita boleh pergi jauh. Macam kerugian (kalau tidak beraksi di pentas Asia).

“Tetapi kita kena akur kepada keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” kata Dollah selepas tamat final Piala FA, semalam.

Sebelum Pahang ‘digantung’ dua tahun daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun selepas enggan menerima pelawaan untuk mewakili Kedah ke pertandingan Piala AFC dengan alasan mahu memberi fokus kepada saingan domestik.

Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana ingkar arahan badan induk itu dan ini menyaksikan skuad Tok Gajah tidak akan mewakili negara ke Liga Juara-Juara Asia 2019 dan 2020.

Mengikut peruntukan statut FAM, Artikel 14 Status FAM - obligasi ahli menuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan FIFA, AFC dan FAM pada setiap masa.

Pada aksi semalam, pengalaman nyata jadi pemisah buat kedua-dua pasukan dan dua gol Pahang dihasilkan oleh Nor Azam Azih pada minit ke-22 diikuti jaringan Patrick Cruz menerusi sepakan penalti, minit ke-62.

Walaupun sudah memastikan kejuaraan Piala FA, Dollah mengingatkan pemainnya supaya tidak diulit mimpi kejayaan itu terlalu lama kerana masih ada tugas yang belum diselesaikan.

“Tidak ada lagi cuti. Kita kena fokus untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 4:31 PM