JARINGAN sendiri oleh pemain tengah Brazil, Fernandinho menyebabkannya menjadi mangsa kecaman berbaur perkauman di media sosial. Foto/REUTERS
JARINGAN sendiri oleh pemain tengah Brazil, Fernandinho menyebabkannya menjadi mangsa kecaman berbaur perkauman di media sosial. Foto/REUTERS
AFP

PEMAIN tengah Brazil, Fernandinho dan keluargannya menjadi mangsa kecaman berbaur perkauman di media sosial selepas jaringan sendiri menyaksikan mereka disingkirkan Belgium pada suku akhir Piala Dunia.

Sesetengah pengguna internet melabelkan pemain Manchester City berkenaan sebagai monyet, malah ada yang mengancam untuk membunuhnya selepas Brazil tewas 1-2.

Isterinya, Rosa Glaucia turut terpalit apabila akaun Instagram miliknya dipenuhi dengan kata-kata kecaman. "Suami anda musnahkan semuanya," demikian komen daripada guih_nevetti.

Ibu Fernandinho menutup akaun Instagram susulan komen yang menyerangnya.

Terkejut dengan serangan perkauman, terdapat pengguna media sosial yang turut mempertahankan pemain itu.

Menerusi laman web Mundo Negro, yang khusus kepada kebudayaan masyarakat kulit hitam, memaparkan imej Fernandinho dengan mesej "kekalahan Brazil dan jaringan sendiri tidak menggambarkan perkauman. Tiada yang menggambarkan perkauman. Kami bersama anda Fernandinho."

Pada perlawanan di Kazan, Russia, jaringan sendiri Fernandinho membolehkan Belgium membuka jaringan pada minit ke-13. Pemain berusia 33 tahun itu turut dikritik empat tahun lalu ketika tewas 1-7 kepada Jerman di separuh akhir Piala Dunia 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 10:38 AM