PEMAIN TFC meraikan gol ke-3 yang dijaringkan Kipre di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
PEMAIN TFC meraikan gol ke-3 yang dijaringkan Kipre di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui pemainnya terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum berjaya melakar kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Jurulatih berusia 67 tahun yang sarat dengan pengalaman itu turut mengakui berdepan detik mencemaskan bermula penghujung babak pertama hingga wisel penamat.

“Aksi yang boleh disimpulkan begitu mendebarkan buat kami terutama apabila skuad lawan bangkit untuk mendahului dengan dua jaringan pantas hanya dalam tempoh dua minit di hujung babak pertama.

“Selain itu, tentangan yang hebat ditampilkan pemain skuad kendalian Mario Lemos itu membuatkan pemain saya sedikit tertekan hingga gagal mengawal pergerakan pemain lawan dan kerap hilang bola walaupun kami beraksi di gelanggang sendiri.

“Bagaimanapun percaturan pada babak kedua dengan memasukkan dua pemain iaitu Mohd Ashari Samsudin dan Mohd Faiz Mohd Nasir bagi menggantikan pemain import, Do Dong Hyun dan Muhammad Haidhir Suhaini ternyata membuahkan hasil apabila berjaya merakam kemenangan,” kata Irfan.

Dalam perlawanan itu, kapten skuad Penyu kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche yang dipanggil Drogba Terengganu meledak hatrik sekali gus menyelamatkan skuad daripada berputih mata.

Mengulas lanjut, beliau memuji semangat tidak putus asa yang diperagakan anak buahnya apabila bangkit daripada ketinggalan 1-2 sebelum berjaya merekodkan kemenangan.

“Barisan pertahanan dilihat sedikit longgar hingga memudahkan pemain lawan memasuki kawasan penalti dan seterusnya meledak dua jaringan pantas melalui Nicolas Velez.

“Namun semangat melawan pemain yang lebih agresif selepas ketinggalan melegakan kami sekali gus mengutip tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:31 AM