ROJO harap mampu pulih sebelum aksi Liga Juara-Juara.
ROJO harap mampu pulih sebelum aksi Liga Juara-Juara.
Reuters

LONDON: Pertahanan Manchester United, Marcos Rojo berharap dia mampu pulih daripada kecederaan sebelum aksi Liga Juara-Juara awal bulan depan.

Rojo berdepan kecederaan ligamen lutut April lalu dan masih belum cergas sepenuhnya namun pemain berusia 27 tahun itu yakin dia mampu menyertai skuad utama bagi aksi Kumpulan A menentang CSKA Moscow pada 5 Disember ini.

“Esok (Rabu), saya akan turun bermain dengan pasukan simpanan bagi aksi persahabatan,” kata Rojo kepada TyC Sports.

“Saya berasa baik. Setakat ini, saya tidak berdepan sebarang masalah tapi latihan tidak sama seperti perlawanan. Dalam tempoh tiga minggu lagi, kami akan mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara dan jika semua berjalan dengan baik esok, saya mungkin boleh bermain nanti.”

United yang menghuni tangga kedua Liga Perdana Inggeris masih belum tewas dalam kempen Eropah musim ini dan memerlukan satu mata daripada dua perlawanan untuk mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati.

Rojo yang sudah tampil 54 perlawanan bersama Argentina juga teruja untuk membuktikan kelebihannya menjelang Piala Dunia tahun depan.

“Saya perlu memenangi kembali tempat saya dalam pasukan jadi jurulatih (Argentina) Jorge Sampaoli boleh menimbang saya untuk Piala Dunia,” kata Rojo.

“Sudah lama saya tersisih tapi saya bertekad untuk kembali ke pasukan kebangsaan. Saya mahu menunjukkan kepada Sampaoli betapa bagusnya saya.”

United akan menanti kunjungan kelab di tangga ke-11, Newcastle United dalam aksi Liga Perdana, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 2:54 PM