Anak didik Mora (kiri) mahu pamer azam tinggi lawan Felda United. FOTO DANIAL SAAD
Anak didik Mora (kiri) mahu pamer azam tinggi lawan Felda United. FOTO DANIAL SAAD
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) akan memberi tentangan sengit dan cuba melakar kejutan ke atas FELDA United apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam esok.

Bagi pengendali skuad diberi jolokan Merah Biru, Benjamin Mora tiada istilah mustahil dalam permainan bola sepak termasuk melakar kejutan ke atas skuad kendalian B Sathiananthan yang kini masih gah di tangga teratas liga.

Kata Mora, anak didiknya memiliki keazaman tinggi untuk memburu kemenangan walaupun sedar berdepan kesukaran tatkala beraksi di padang rumput tiruan yang mungkin membataskan kelancaran gerakan.

"Kami melakukan persiapan rapi untuk berdepan FELDA United. Anda sendiri tahu pasukan itu kini berada di tangga teratas dan mereka beraksi di laman sendiri, sudah tentu beri kelebihan.

"Apapun, kami tidak mahu menjadi alasan betapa aksi di padang rumput tiruan akan menjejaskan rentak permainan, sebaliknya setiap pemain JDT II harus fokus dalam pertembungan itu tanpa membuat kesilapan mudah.

"Kesebelasan utama yang akan turun beraksi nanti perlu ada jiwa dan semangat juang yang tinggi dan menggunakan apa juga perancangan taktikal yang sudah saya rencana dan tidak memberi ruang kepada barisan pemain FELDA United menguasai perlawanan," katanya.

JDT II kini berada di tangga keenam selepas mengumpul 20 mata dan masih berpeluang mengintai kedudukan di kelompok empat teratas tatkala skuad The Fighters mengharapkan kemenangan untuk memburu kejuaraan Liga Perdana pada musim ini.

Mengulas lanjut, Mora juga mahu barisan pemainnya berwaspada dengan kelicikan beberapa pemain lawan terutama Thiago Augusto, Gilberto Fortunato dan Stuart Walk yang memiliki corak permainan agresif dan bijak menghidu ruang untuk menjaringkan gol.

Menurutnya, barisan pemain FELDA United gemar melakukan gerakan di posisi sayap kiri dan kanan yang bakal mengundang bahaya buat benteng pertahanan JDT II dan mereka harus berhati-hati bagi mengelak membuat kesilapan.

"Mereka mampu beri ancaman dengan gerakan itu dan sangat berbahaya. Kami tidak boleh beri ruang untuk mereka bergerak bebas dan saya akan pastikan bek kanan dan kiri sentiasa menutup ruang bagi mengelak pemain sayap lawan bermaharajalela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 6:19 PM