ROBERTO Firmino dan Fagner ketika sesi latihan skuad Piala Dunia Brazil. Foto REUTERS
ROBERTO Firmino dan Fagner ketika sesi latihan skuad Piala Dunia Brazil. Foto REUTERS
Reuters

PERTAHANAN Brazil, Danilo terpaksa diketepikan untuk aksi kedua Kumpulan E bertemu Costa Rica hari ini susulan mengalami kecederaan di bahagian betisnya.

Menerusi kenyataan Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF), tempat Danilo akan digantikan dengan bek kanan Corinthians, Fagner.

Danilo yang membarisi kesebelasan utama selepas Dani Alves digugurkan kerana kecederaan mengalami kekejangan pada betisnya pada sesi latihan, kata doktor pasukan, Rodrigo Lasmar.

Dia akan menjalani rawatan fisioterapi serta-merta, namun belum pasti mengenai tempoh masa dia perlu diketepikan.

Brazil akan menentang Costa Rica di Saint Petersburg dan kemenangan begitu ditagih selepas mereka terikat 1-1 dengan Switzerland pada aksi pembukaan sebelum ini. Costa Rica pula tunduk 1-0 di tangan Serbia dalam perlawanan sebelum ini.

Dalam masa sama, Brazil turut menamakan pertahanan Paris St Germain (PSG), Thiago Silva sebagai kapten untuk aksi malam ini, selaras dengan polisi penggiliran kapten buat pasukan terbabit.

Kali terakhir dia menjadi kapten adalah pada aksi persahabatan bertemu Argentina, Jun lalu yang menyaksikan mereka tewas 0-1, yang juga menjadi satu-satunya kekalahan buat Tite dalam 22 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 9:56 AM