NEYMAR terjatuh ketika Brazil menewaskan Serbia 2-0. FOTO Reuters
NEYMAR terjatuh ketika Brazil menewaskan Serbia 2-0. FOTO Reuters
AFP

Doha: Neymar tidak akan beraksi pada perlawanan terakhir Brazil dalam Kumpulan G menentang Cameroon, Jumaat ini, berikutan masih dalam proses pemulihan akibat cedera buku lali, kata doktor pasukan kebangsaan Brazil.

Pemain bintang Paris Saint-Germain itu terlepas perlawanan ketika menang 1-0 ke atas Switzerland, semalam, selepas cedera buku lali ketika menang 2-0 ke atas Serbia pada perlawanan pembukaan di Qatar.

Jurulatih, Tite yakin pemain berusia 30 tahun itu akan memainkan peranan penting membantu Selecao memburu gelaran keenam Piala Dunia, tetapi dia tidak akan diturunkan menentang Cameroon selepas Brazil sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

"Neymar mengalami demam, namun dalam keadaan terkawal dan dalam proses pemulihan akibat kecederaan buku lali," kata doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar dalam video yang disiarkan Konfederasi Bolasepak Brazil.

Bek kanan, Danilo turut dalam proses pemulihan buku lali yang dialami ketika menang ke atas Serbia manakala bek kiri, Alex Sandro mengalami masalah otot ketika bertemu Switzerland.

"Tiga pemain ini tidak dapat bersama kami menentang Cameroon pada perlawanan selepas ini," tambah Lasmar.

Keputusan seri dengan Cameroon akan mengesahkan Brazil sebagai juara Kumpulan G, malah jika kalah sekalipun, mereka tetap juara kumpulan jika Switzerland gagal menewaskan Serbia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 2:13 AM