SAZALI tidak berdiam diri. FOTO/FAIL
SAZALI tidak berdiam diri. FOTO/FAIL
Mohd Khairie Khalid


PIHAK mewakili Sazali Samad tidak akan berdiam diri bagi menuntut keadilan malah akan mencari bukti kukuh bagi menyokong dakwaan ‘double standard’ dilontarkan terhadap Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF).

Pengurus dan pembantu peribadi kepada Sazali, Hashrine Hashim menegaskan bukti akan dikumpulkan sebelum konflik itu dipanjangkan kepada pihak berkuasa termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami akan mencari bukti kerana kami tidak boleh setakat bercakap saja.

“Bukti itu seperti yang kami maksudkan iaitu salah laku di dalam MBBF, kami kena bertindak secara bijak,” kata Hashrine yang juga isteri kepada Sazali ketika ditemui di Sesi Pertemuan bersama Sazali Samad di UA Boutique , TTDI Jaya, Shah Alam, semalam (Sabtu).

Khamis lalu, Sukan NSTP melaporkan Sazali yang dikenakan hukuman gantung tambahan empat tahun lagi gara-gara menyertai Kejohanan China Sports Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, menuntut keadilan buat dirinya sambil mendakwa wujudnya salah laku di dalam MBBF.

Beliau mendakwa hukuman dikenakan tidak adil dan ‘double standard’ dengan mendakwa beberapa bekas atlet yang pernah digantung turut melakukan kesalahan, tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan.

Ketika disoal adakah pihak Sazali akan mengambil peguam serta mengemukakan rayuan terhadap penambahan penggantungan, Hashrine berkata ia tidak diperlukan buat ketika ini.

Hashrine menegaskan pihaknya tidak mempunyai kewangan mencukupi malah tidak mahu ia menjadi sia-sia.

“Saya rasa buat masa ini kami tak memerlukan khidmat peguam seperti dilakukan sebelum ini kalau sebelum ini kami ambil untuk membuat rayuan.

“Lagipun pada masa itu Sazali masih lagi berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), jadi ia lebih protokol. Tetapi apabila kami menggunakan khidmat peguam, keadaan tetap sama,” kata Hashrine.

Mengulas lanjut, Hashrine menegaskan Mr Universe 10 kali itu akan tetap meneruskan karier bina badan kerana sudah tidak bernaung dengan mana-mana persatuan. Namun dia akan memastikan Sazali boleh menyertai pertandingan sebelum melakukan pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 4:12 PM