SAZALI (tengah) sudah menjalani separuh hukuman penggantungan. - Foto Fail
SAZALI (tengah) sudah menjalani separuh hukuman penggantungan. - Foto Fail
Azlan Muhammad Zain


PERSEKUTUAN Bina Badan Malaysia (PBBM) bersikap terbuka terhadap hasrat juara 10 kali Mr Universe, Sazali Samad yang bercadang mengemukakan rayuan kali ketiga dalam masa terdekat.

Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir menjelaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan terhadap tindakan itu.

“Ia (rayuan) terpulang kepadanya cuma Jawatankuasa Rayuan PBBM akan bersidang seperti biasa apabila rayuan sudah dihantar kepada kami nanti.

“Sebarang keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan adalah tertakluk kepada jawatankuasa. Saya tidak boleh mengulas lanjut biarlah dia (Sazali) menghantar rayuan terlebih dulu,” katanya.

Sazali menerusi pengurus yang juga isterinya, Hashrine Hashim bercadang untuk mengemukakan rayuan kepada PBBM selepas jaguh bina badan itu sudah menjalani separuh hukuman penggantungan yang dikenakan terhadapnya.

Olahragawan Kebangsaan empat kali itu dikenakan penggantungan empat tahun bermula 22 September 2015 susulan gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

Jelas Hashrine, pihaknya mungkin akan mengemukakan rayuan minggu depan.

Tahun lalu, Jawatankuasa Rayuan PBBM sudah dua kali menolak rayuan Sazali dengan mengekalkan hukuman empat tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 2:48 PM