HIGUAIN lega Argentina membatalkan aksi pemanas badan dengan Israel. FOTO/AFP
HIGUAIN lega Argentina membatalkan aksi pemanas badan dengan Israel. FOTO/AFP
AFP

BUENOS AIRES: Argentina membatalkan perlawanan pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia menentang Israel, menurut penyerang Gonzalo Higuain awal pagi tadi, ketika tekanan politik memuncak sebelum aksi di Baitulmaqdis, Sabtu ini.

“Mereka akhirnya melakukan perkara yang betul,” kata Higuain dalam satu temu bual dengan ESPN, mengesahkan laporan perlawanan itu dibatalkan.

Perlawanan di Stadium Teddy Kollek adalah aksi terakhir Argentina sebelum memulakan kempen Piala Dunia di Russia pada 16 Jun ini.

Tiada sebarang reaksi awal daripada FA Israel atau ahli politik negara itu. Laporan menyatakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menelefon Presiden Argentina, Mauricio Macri memintanya supaya memujuk pasukan tidak membatalkan kunjungan mereka.

Radio Israel memetik seorang pegawai diplomatik yang menyatakan peluang untuk mengadakan perlawanan itu amat tipis.

Kunjungan juara dunia dua kali Argentina menarik minat mendalam kalangan peminat Israel, terutama kerana kehadiran bintang Barcelona, Lionel Messi.

Rakyat Palestin meraikan pembatalan perlawanan itu. Di Gaza, penduduk bersorak dan di Ramallah di Tebing Barat, FA Palestin mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Messi dan rakannya kerana membatalkan perlawanan itu.

“FA Palestin berterima kasih kepada pemain Argentina diketuai Messi kerana enggan dipergunakan pihak tertentu.”

Pengerusi FA Palestin, Jibril Rajoub berkata: “Nilai, moral dan sukan meraih kemenangan hari ini dan kad merah dilayangkan kepada Israel menerusi pembatalan perlawanan itu.”

Argentina berdepan Iceland, Nigeria dan Croatia dalam apa yang dianggap satu daripada kumpulan sukar pada kejohanan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 8:30 AM