PEMIMPIN bola sepak Palestin, Jibril Rajoub harap bintang Argentina, Lionel Messi tidak beraksi menentang Israel di Baitulmuqaddis, Sabtu depan. FOTO AFP
PEMIMPIN bola sepak Palestin, Jibril Rajoub harap bintang Argentina, Lionel Messi tidak beraksi menentang Israel di Baitulmuqaddis, Sabtu depan. FOTO AFP
AFP

PEMIMPIN bola sepak Palestin, Jibril Rajoub memohon bintang Barcelona, Lionel Messi supaya tidak bermain pada perlawanan yang menemukan Argentina dan Israel di Baitulmuqaddis, Sabtu depan.

Malah katanya, jika penyerang berbisa itu tetap melakukannya, beliau menggesa agar peminat membakar jersinya.

Rajoub yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) sudah lama menuntut tindakan terhadap Israel apabila enam pasukan liga rejim itu bermain di kawasan yang diduduki secara haram di Tebing Barat.

Ketika sidang media di bandar Ramallah di Tebing Barat, beliau memberitahu wartawan sudah menulis surat kepada kerajaan Argentina dan meminta Messi tidak mengambil bahagian dalam perlawanan yang dijadual 9 Jun ini.

“Perlawanan ini sudah menjadi alat politik,” kata Rajoub.

“Kerajaan Israel cuba untuk menjadikannya kepentingan politik dengan menegaskan ia berlangsung di Baitulmuqaddis.”

Rakyat Palestin berang apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Disember lalu membuat keputusan untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, sekali gus melanggar polisi yang bertahan beberapa dekad dan memindahkan pejabat kedutaan di sana.

Kedutaan itu dibuka pada 14 Mei lalu yang mencetus kemarahan rakyat Palestin sehingga menyebabkan protes di sempadan Gaza dengan sekurang-kurangnya 16 penduduk badar itu terbunuh selepas bertempur dengan pihak berkuasa Israel pada hari berkenaan.

Palestin mendakwa bahagian Timur Baitulmuqaddis, yang diduduki oleh Israel sebagai ibu negara mereka di masa depan. Tetapi pihak Yahudi menganggap seluruh bandar berkenaan adalah milik mereka.

“Messi adalah simbol keamanan dan kasih sayang,” kata Rajoub. “Kami memintanya untuk tidak mengambil bahagian dalam jenayah pendudukan.

“Messi mempunyai jutaan peminat di tanah Arab dan negara Muslim... kami meminta semua orang untuk membakar jersi yang memaparkan namanya dan juga poster (dengan imejnya).”

Kementerian Sukan Israel ketika dihubungi oleh AFP tidak dapat memberi maklum balas pantas dan jurucakap Persatuan Bolasepak Israel tidak dapat dihubungi.

PFA berkata Israel melanggar peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menyatakan negara ahli gabungan tidak boleh bermain di wilayah negara lain mempunyai persatuan lain tanpa kebenaran.

Perlawanan Israel-Argentina dijadual berlangsung di Stadium Teddy Stadium yang berkapasiti 31,733 tempat duduk dengan tiket perlawanan habis dijual selepas 20 minit ia dibuka, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 1:15 AM