JIBRIL Rajoub digantung FIFA kerana menyeru bantahan ke atas Lionel Messi. Foto AFP & EPA
JIBRIL Rajoub digantung FIFA kerana menyeru bantahan ke atas Lionel Messi. Foto AFP & EPA
AFP

FIFA semalam menggantung presiden Persatuan Bola Sepak Palestin kerana menyeru bantahan ke atas Lionel Messi berikutan rancangan Argentina mengadakan perlawanan persahabatan dengan Israel di Baitulmaqdis.

FIFA menggantung Jibril Rajoub kerana melanggar kod berkenaan “mencetus kebencian dan keganasan” selepas dia mengeluarkan kenyataan media menyeru peminat bola sepak mengecam Persatuan Bola Sepak Argentina dengan membakar jersi dan gambar Messi.

Membalas kenyataan FIFA, Rajoub memberitahu AFP yang keputusan itu tidak adil dan dia akan membuat rayuan.

Rajoub menuntut bintang Barcelona dan Argentina, Messi untuk tidak mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan pra-Piala Dunia menentang Israel 9 Jun lalu dan menyeru peminat membakar jersi yang tertera nama pemain itu jika dia menyertainya.

Dalam sidang akhbar pada 3 Jun Rajoub berkata: “Messi mempunyai jutaan peminat di negara Arab dan Muslim... kami minta setiap orang membakar jersi yang mempunyai namanya dan gambarnya.”

Penggantungan selama setahun itu menyaksikan Rajoub masih kekal sebagai presiden tetapi peranannya terhad.

Dia dilarang menghadiri perlawanan atau pertandingan bola sepak di atas kapasiti jawatannya, termasuk mengambil bahagian dalam aktiviti media di stadium atau sekitarnya pada hari perlawanan.

“Keputusan ini tidak wajar dan tidak adil,” kata Rajoub. “Kami akan membuat rayuan kepada mahkamah rayuan FIFA dan melihat semua aspek undang-undang FIFA.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 2:58 PM