KETUA Pegawai Eksekutif Formula Satu (F1), Chase Carey.
KETUA Pegawai Eksekutif Formula Satu (F1), Chase Carey.
AFP

Formula Satu (F1) teruja dengan kemungkinan satu perlumbaan bakal berlangsung di Vietnam sebagai tambahan saingan di Asia, namun Eropah masih kekal sebagai tunjang sukan berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chase Carey.

F1 sudah pun melakukan perbincangan dengan pihak berkuasa Vietnam mengenai penganjuran perlumbaan di jalan raya di Hanoi, kemungkinan pada tahun 2020 namun sehingga hari ini masih belum ada sebarang pemeteraian.

Negara itu menjadi pasaran peningkatan penaja seperti Heineken dan kemungkinan bakal menganjurkan perlumbaan kelima di Asia selepas ketiadaan Malaysia.

“Vietnam adalah sebuah negara yang menarik. Sebuah negara yang mampu menarik imaginasi dunia,” kata Carey dalam satu sidang media di sini yang dianjurkan oleh FIA.

Carey berkata, sukan berkenaan mahu mencari perlumbaan yang hebat dan ‘platform hebat bagi mampu menggegarkan dunia dan menjadi destinasi dimahukan setiap orang.’

“Saya fikir kami teruja mengenai peluang pembangunan di Asia, kami teruja mengenai peluang yang kami sedang bincangkan di Vietnam, itu sudah tentu,” katanya.

Carey yang memegang jawatan itu sejak Liberty Media mengambilalih pada Januari tahun lalu berkata, Asia adalah rantau utama kerana menjadi ‘enjin pertumbuhan’ dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 1:35 AM