RAZLAN mahu berjumpa  Zulfahmi. FOTO/FAIL
RAZLAN mahu berjumpa Zulfahmi. FOTO/FAIL
Sukhairi Thani


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali akan menemui Zulfahmi Khairuddin selepas menyaksikan prestasi kurang memuaskan sepanjang tiga pusingan awal Kejuaraan Motosikal Dunia disertai pelumba Moto2 negara itu.

Meskipun kempen 2018 masih di peringkat awal, pelumba pasukan SIC Racing itu tampak bergelut di Grand Prix (GP) Qatar, Argentina dan Amerika Syarikat biarpun disediakan jentera yang baik dan krew berpengalaman.

Razlan dijadual berangkat ke Valencia, Sepanyol minggu ini bagi mendapatkan maklum balas daripada Zulfahmi sendiri mengenai masalah yang dihadapi.

“Setakat ini, saya lihat Fahmi tengah bergelut,” kata Razlan. “Saya menerima laporan daripada pasukan kenapa dia bergelut. Agak rumit kerana saya harus melihat daripada setiap sudut apatah lagi kita serapkan Fahmi pada saat-saat akhir (sebelum musim 2018 bermula).

“Mungkin dia tidak bersedia dan persaingan terlalu sukar. Daripada pusingan satu sehingga tiga, semua sesi tidak konsisten.

“Saya sedikit kecewa dengan prestasinya sekiranya hendak dibandingkan dengan apa yang dipamerkan Khairul Idham Pawi, Azlan Shah Kamaruzaman ataupun Hafizh Syahrin pada tahun pertama mereka, mereka jauh lebih baik berbanding Fahmi daripada sudut catatan masa.

“Jadi saya perlu mengetahui apakah masalah dihadapinya dan minggu ini saya akan ke Valencia untuk melihat pelumba Impian ke MotoGP (di CEV) dan dalam masa sama, saya akan berbincang dengannya. Daripada sudut motosikal dan juga krew, semuanya sudah bagus. Jadi kenapa dia tak boleh lebih baik daripada sekarang?.”

Zulfahmi menamatkan perlumbaan pembuka tirai di Qatar di tangga ke-28 sebelum ke-26 di Argentina dan ke-27 di Amerika Syarikat minggu lalu dengan ketinggalan lebih daripada 1 minit berbanding pemenang di setiap pusingan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 10:03 PM