MAX MEYER
MAX MEYER
AFP

SCHALKE membalas dakwaan Max Meyer bahawa pegawai senior kelab itu membulinya dengan menggantung pemain tengah Jerman itu dalam dua perlawanan terakhir kelab.

Kontrak Meyer tamat akhir musim ini dan biarpun dikaitkan dengan Arsenal, Liverpool dan Paris Saint-Germain, dia masih tidak mendedahkan perancangannya.

Schalke segera bertindak selepas  Meyer memberitahu akhbar harian Jerman Bild bahawa dia ‘rasa dibuli’ oleh pengarah sukan Christian Heidel dan pengerusinya  Clemens Toennies.

“Kami tidak boleh menerima pendekatan dan kenyataan seperti ini, apatah lagi dakwaan tidak tepat yang mengganggu kami dan kami menolak sekeras-kerasnya,” kata Heidel.

Jurulatih Schalke Domenico Tedesco,  yang membawa kelab itu ke tangga kedua Bundesliga di belakang Bayern Munich turut mengecam Meyer.

“Saya kecewa dengan serangan peribadinya dan saya tidak memahaminya kerana ia tidak betul,” kata Tedesco.

Meyer, 22 digantung daripada skuad utama, sekali gus menamatkan hubungan mereka selepas sembilan tahun bersama kelab Jerman yang disertainya sejak remaja lagi.

Selepas kali terakhir tampil bersama Jerman pada 2016, Meyer baru-baru ini memberitahu Schalke dia tidak akan memperbaharui kontrak.

Penggantungannya itu susulan isu yang berpanjangan selama semusim apabila Schalke cuba memujuknya kekal bersama pasukan selepas pemain tengahnya Leon Goretzka menyertai Bayern musim depan.

Heidel secara terbuka mengumumkan minggu lalu bahawa Meyer akan meninggalkan kelab itu, sekali gus mengeruhkan hubungan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 11:33 AM