LEONARDO JARDIM
LEONARDO JARDIM
AFP

PARIS: Jurulatih Monaco, Leonardo Jardim mencabar pemainnya supaya melupakan kekalahan memalukan 7-1 minggu lalu di tangan Paris Saint-Germain untuk terus berada di landasan layak secara automatik ke Liga Juara-Juara.

PSG meraih kembali gelaran Ligue 1 – yang kelima dalam enam musim – selepas membelasah juara tahun lalu Monaco di Parc des Princes, namun Jardim yakin ia tidak akan mengganggu musim dilalui mereka.

Monaco memiliki jurang lima mata berbanding Lyon dan Marseille dalam pemburuan tempat kedua berbaki lima perlawanan yang akan bermula dengan kunjungan ke Guingamp, Sabtu ini.

“Ia perlawanan sukar untuk diterima,” kata Jardim merujuk kepada perlawanan yang menamatkan 17 perlawanan tanpa kalah dalam liga buat Monaco.

“Kami tidak biasa melepaskan tujuh gol. Kami sedar tidak melakukan yang terbaik. Kami sepatutnya lebih baik. Kami menerimanya.

“Saya mengambil kata-kata Confucius: ‘Kemenangan terhebat kami bukanlah kerana tidak pernah kalah, tetapi bangkit setiap kali kalah,’” katanya merujuk kepada ahli falsafah purba China itu.

“Kami ada lima perlawanan yang perlu dilalui. Pertarungan untuk tempat kedua akan menjadi pertembungan hingga penamat.”

Lyon boleh mendekatkan diri dengan Monaco jika skuad kendalian Bruno Genesio menang perlawanan keenam berturut-turut di Dijon, awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 10:30 AM