PENGURUS Chelsea, Antonio Conte. - Foto REUTERS
PENGURUS Chelsea, Antonio Conte. - Foto REUTERS

ANTONIO Conte menegaskan Manchester City mungkin boleh mendominasi bola sepak Inggeris selama beberapa tahun selepas anak buah Pep Guardiola menyingkirkan Chelsea sebagai juara Liga Perdana Inggeris.

City dinobat sebagai juara hujung minggu lalu dengan berbaki lima perlawanan dan mempunyai kelebihan 16 mata di depan pasukan tangga kedua Manchester United.

“Manchester City kelab yang boleh terus mendominasi, untuk menang bukan saja di England tapi juga merebut trofi Liga Juara-Juara,” kata Conte, yang memenangi Liga Perdana dalam musim sulungnya di Stamford Bridge.

“Mereka mempunyai kemungkinan untuk melakukannya. Ia kelab yang kuat, mereka memiliki skuad penting dengan pemain hebat dan kelab yang mahu melabur serta meningkat. Banyak perkara yang dilakukan betul.”

Chelsea berdepan Burnley awal pagi Jumaat ini dengan impian mereka menghuni empat tangga teratas agak terancam.

Blues ketinggalan di belakang pasukan tangga keempat Tottenham dengan lapan mata, sekalipun Spurs bermain lebih satu perlawanan.

Conte berkata, Chelsea masih bersemangat untuk layak ke Liga Juara-Juara sekalipun segala-galanya tidak menyebelahi mereka.

“Jika kami mahu realistik dengan berbaki lima perlawanan, tidak mudah untuk mengurangkan jurang, tapi kami perlu mempunyai keazaman untuk berjuang, keghairahan untuk mencapai sasaran ini,” katanya.

“Kenapa tidak? Kami mempunyai perlawanan penting menentang Burnley, pasukan yang kuat dengan musim yang fantastik dan tidak mudah untuk meraih tiga mata.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 10:15 PM