CONTE mengecam perencana jadual Liga Perdana Inggeris. - Foto REUTERS
CONTE mengecam perencana jadual Liga Perdana Inggeris. - Foto REUTERS
AFP

MADRID: Bos Chelsea, Antonio Conte mengecam perencana jadual Liga Perdana Inggeris selepas pasukannya kembali daripada aksi Liga Juara-Juara untuk bertemu Manchester City pada aksi tumpuan, Sabtu ini.

Anak buah Conte mempamerkan persembahan cemerlang mencetus kekalahan kedua Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara di laman sendiri selepas 24 perlawanan awal pagi tadi apabila gol kemenangan Michy Batshuayi pada minit ke-93 memastikan kemenangan 2-1.

Bagaimanapun, pengendali dari Itali itu mengeluh mengenai kelebihan dimiliki City, yang bermain aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri menentang Shakhtar Donetsk 24 jam terdahulu, awal pagi kelmarin.

“Saya fikir kami seakan dihukum dan dalam kes ini, amat penting untuk menganalisis sebelum membuat keputusan, situasi berbeza pasukan,” kata Conte.

PEMAIN Chelsea kegembiraan selepas menang ke atas Atletico. - Foto EPA
PEMAIN Chelsea kegembiraan selepas menang ke atas Atletico. - Foto EPA

“City bermain semalam di laman sendiri. Kami bermain malam ini di gelanggang lawan dan akan kembali ke London sekitar jam 4 pagi.”

City mendahului Liga Perdana di depan Manchester United menerusi perbezaan gol manakala Chelsea tiga mata di belakang di tangga ketiga.

“Man City pasukannya yang amat kuat. Mereka menjaringkan banyak gol, mereka berdepan prestasi baik ketika ini dan kami perlu bersiap sedia dengan mantap bagi perlawanan ini kerana ia amat penting.

“Sebelum membuat keputusan ini seseorang mesti menganalisis dengan baik situasi ini.

“Ada rehat tugasan antarabangsa (selepas hujung minggu ini). Kejutan saya adalah perlawanan ini kerana tidak cukup masa.”

Conte berpuas hati dengan persembahan Chelsea apabila mereka bangkit meraih tiga mata sekalipun ketinggalan selepas gol penalti Antoine Griezmann lima minit sebelum rehat.

Bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata meneruskan rentetan jaringannya kepada tujuh gol dalam tujuh perlawanan dengan gol tandukan hasil hantaran silang Eden Hazard untuk menyamakan kedudukan selepas sejam sebelum Batshuayi muncul wira dengan sepakan terakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 12:21 PM