WELSON SIM
WELSON SIM
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

WELSON Sim tidak dapat menyembunyikan kekecewaan selepas gagal mencapai sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 400m gaya bebas yang berlangsung di Pusat Aquatic Optus, sebentar tadi.

Perenang negara itu menamatkan acara di tempat ketujuh dengan catatan 3:53.36, 3.88 saat lebih perlahan daripada rekod peribadinya. Acara itu dimenangi juara Olimpik Rio, Mack Horton dari Australia.

Malah, catatan masa Welson dalam acara saringan pada sebelah pagi lebih baik iaitu 3:51.78s.

Perenang dari Sarawak itu menyifatkan prestasi keseluruhannya adalah buruk tetapi tetap bangga apabila menjadi perenang pertama mara ke final Sukan Komanwel selepas Lim Keng Liat melakukannya di Manchester pada 2002.

Ketika perenang berusia 21 tahun itu jauh di bawah kemampuan sebenar, perenang tuan rumah, Horton pula sukar dicabar perenang lain dengan mencatat 3:43.76s.

Perak milik Jack McLoughlan juga dari Australia dengan mencatat 3:45.21s dan gangsa milik perenang England, James Guy dengan catatan 3:45.32s.

"Catatan saya pada final kurang bagus. Saya tidak menjangkanya. Saya sepatutnya melakukan dengan lebih baik lagi selepas persiapan sebelum ini tiada masalah,” kata Welson.

"Sesi pemanas badan saya berjalan lancar dan permulaan saya tiada masalah tetapi perenang lain jauh lebih pantas. Mungkin juga suasana di sini menjejaskan saya tetapi itu bukan alasan,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai pencapaiannya menjadi perenang pertama negara layak ke final selepas 16 tahun, Welson berkata, “Ini adalah pencapaian hebat tetapi saya tetap gagal mencapai sasaran,” katanya.

"Saya mahu mencatat rekod baru kebangsaan. Saya bekerja keras untuk itu tetapi ia tidak menjadi hari ini,” katanya.

Welson tekad bangkit dalam acara 200m gaya bebas esok dengan sasaran mencipta rekod baru kebangsaan miliknya iaitu 1:47.36s.

Sementara itu, dalam acara renang para, atlet negara, Ting Jin Ping menduduki tempat ketujuh dalam acara lelaki S14 200m gaya bebas dengan catatan 2:20.93s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 8:01 PM