PERENANG negara, Welson Sim dalam acara saringan 400 meter lelaki gaya bebas Sukan Asia 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno hari ini. Foto BERNAMA
PERENANG negara, Welson Sim dalam acara saringan 400 meter lelaki gaya bebas Sukan Asia 2018 di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno hari ini. Foto BERNAMA
Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


PERENANG negara, Welson Sim gagal melayakkan diri ke acara final 400 meter gaya bebas apabila berada di kedudukan keempat saringan ketiga di Kompleks Renang Gelora Bung Karno, hari ini.

Diletakkan di sebelah juara Olimpik, Sun Yang dari China, Welson gagal mengambil kelebihan itu apabila semakin perlahan pada penghujung saingan.

Dia melakukan 3 minit 54.48 saat, jauh dari rekod kebangsaan miliknya 3:49.48s dengan Sun Yang memenanginya dengan catatan 3:49.13s.

"Saya tidak tahu apa yang terjadi, saya tidak dapat melakukannya," kata Welson selepas itu.

Dia mengakui gagal mengikut rentak renangan sensasi renang dunia tu yang nampak mudah memenangi saringan berkenaan dengan masa 3:49.13s.

Pada 100m awal, Welson tampak boleh mengikut rentak dalam acara kegemarannya itu, namun semakin ketinggalan di akhir saringan menyebabkan dia gagal layak ke final yang menghimpunkan lapan perenang terbaik.

"Dia (Sun Yang) semakin laju, saya sebaliknya semakin perlahan, sukar untuk saya katakan," katanya.

Welson malam tadi mencatat rekod kebangsaan dalam acara 800m gaya bebas dengan catatan 8:12.465s walaupun ia bukan acara kegemarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:18 PM