WELSON SIM
WELSON SIM
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


WELSON Sim meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi dirinya pada Sukan Komanwel di sini selain menyalahkan faktor kepenatan.

Ketika hari pembukaan saingan renang berlangsung pada Khamis lalu, dia berjaya melangkah ke pusingan akhir acara 400 meter gaya bebas, untuk muncul perenang negara pertama mara ke final sejak 2002.

Namun Welson gagal membaiki rekod kebangsaan 3 minit 49.48 saat miliknya.

Perenang itu juga tidak berjaya memecah rekod kebangsaan 1:47.36s dalam acara 200m gaya bebas semalam sementara dia menamatkan saingan ke kedudukan 27 dalam acara 100m gaya bebas dengan 50.91s pada hari ini - ketinggalan 0.59s daripada rekod terbaik peribadinya.

“Saya datang ke sini untuk memecahkan rekod kebangsaan saya dalam 200m dan 400m gaya bebas, tetapi saya tidak dapat berenang sepantas yang saya mahukan dalam kedua-dua acara ini. Atlet berlatih untuk memecah rekod, jadi saya kecewa,” kata Welson.

“Saya cuma penat...badan saya penat...ia seperti ini sejak tiga minggu kebelakangan ini. Tetapi ia adalah sesuatu yang saya perlu lakukan jika saya mahu menjadi perenang terhebat.

“Bagaimanapun, Sukan Komanwel bukanlah sasaran utama saya. Saya berharap prestasi saya akan memuncak bagi Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini yang menjadi keutamaan saya.

Welson sepatutnya beraksi pada acara terakhir 1,500m pada Isnin ini tetapi dia masih belum pasti sama ada akan turut serta.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 4:08 PM