WELSON Sim, menduduki tempat keenam dalam acara 200m gaya bebas. FOTO Fathil Asri
WELSON Sim, menduduki tempat keenam dalam acara 200m gaya bebas. FOTO Fathil Asri
Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


PERENANG negara, Welson Sim gagal meneruskan aksi terbaiknya apabila menamatkan saingan di tangga keenam acara final 200 meter gaya bebas, hari ini.

Pada aksi final itu, dia melakukan catatan 1 minit 47.99 saat (s) yang juga catatan peribadi terbaiknya.

Acara berkenaan dimenangi perenang China yang juga juara Olimpik Rio 2016, Sun Yang dengan catatan 1:45.43s manakala perak dan gangsa masing-masing dimenangi perenang Jepun dan China.

Welson muncul perenang kelima terpantas dengan masa 1:48.47s dalam kalangan 34 peserta pagi tadi.

Seorang lagi perenang negara, Phee Jinq En berkedudukan terakhir dalam aksi final 100m kuak dada wanita dengan catatan 1:09.01s.

Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan ketika lagu kebangsaan China dinyanyikan apabila bendera  terjatuh ketika ia dinaikkan.

Malah, Sun Yang yang berada di atas podium meminta penganjur melakukannya sekali lagi sebagai menghormati lagu kebangsaan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 10:36 PM