HAFIZH tak sabar beraksi di GP Argentina. -Foto fail
HAFIZH tak sabar beraksi di GP Argentina. -Foto fail
Sukhairi Thani


SELEPAS penampilan positif di Grand Prix (GP) Qatar dua minggu lalu, kini pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah jelas tidak sabar untuk kembali menunggang ‘kuda gilanya’ di GP Argentina, minggu ini.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu berjaya menjinakkan jentera Yamaha YZR-M1 di Litar Losail dengan menamatkan perlumbaan di tangga ke-14 untuk meraih dua mata berharga pada penampilan sulungnya dalam kelas perdana, MotoGP.

“Saya cuba untuk memberi tumpuan kepada fizikal dan juga pemikiran saya untuk perlumbaan seterusnya di Argentina,” kata Hafizh. “Saya sudah bersedia untuk pusingan kedua dan amat gembira untuk kembali menunggang ‘kuda gila’ saya semula.

“Sejak Qatar, saya cuba mempelajari banyak perkara. Saya menonton beberapa aksi MotoGP dari tahun lalu untuk melihat bagaimana mereka lakukan pada sesi kelayakan dan juga perlumbaan.

“Saya rasa saya boleh meraih beberapa pengetahuan daripada situ dan sekarang, saya mahu cuba menyesuaikannya pada minggu ini. Saya berlatih dengan gigih, jadi saya sudah lebih daripada bersedia untuk Argentina dan teruja untuk menunggang jentera ini di Termas de Rio Hondo.”

Di Qatar, Hafizh juga mencuri perhatian ramai apabila muncul selaku pelumba muka baharu kedua terpantas dalam kelas perdana berkenaan di belakang Franco Morbidelli dari pasukan EG 0,0 Marc VDS.

Pelumba dari Itali, Morbidelli yang juara keseluruhan Moto2 tahun lalu menamatkan saingan di tangga ke-12 untuk meraih empat mata di Qatar.

INFO:

Jadual esok

8 mlm-8.40 mlm (Moto3) Latihan bebas 1

8.55 mlm-9.40 mlm (Moto2) Latihan bebas 1

9.55 mlm-10.40 mlm (MotoGP) Latihan bebas 1

12.10 tgh mlm-12.50 tgh mlm (Moto3) Latihan bebas 2

1.05 pg-1.50 pg (Moto2) Latihan bebas 2

2.05 pg-2.50 pg (MotoGP) Latihan bebas 2

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 6:32 PM