BALE (tengah) bantu Real Madrid benam Las Palmas. - Foto REUTERS
BALE (tengah) bantu Real Madrid benam Las Palmas. - Foto REUTERS
AFP

MADRID: Gareth Bale membuktikan mengapa namanya perlu disenaraikan dalam kesebelasan utama Real Madrid yang akan menentang Juventus pada aksi Liga Juara-Juara selepas ini apabila memastikan Real Madrid menang selesa 3-0 ke atas Las Palmas, semalam.

Dua gol yang dihasilkan Bale di Gran Canaria membuatkan jurulatih, Zinedine Zidane perlu memikirkan kelibat pemain itu untuk aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara di Turin, Selasa ini.

Karim Benzema menggandakan kelebihan Real sebelum rehat dan Los Blancos kini ketinggalan hanya satu mata di belakang pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid yang akan melayan kunjungan Deportivo La Coruna hari ini. Las Palmas kekal di tangga ke-18.

Satu-satunya perkara yang memeningkan Zidane ialah apabila Nacho terpaksa dibawa keluar pada babak pertama akibat masalah hamstring.

“Semuanya positif kecuali satu perkara iaitu kecederaan Nacho,” kata Zidane. “Dia tidak gembira dengan keadaannya. Ia agak menggusarkan kami tetapi perkara lain berjalan baik.”

Bale membuka jaringan menerusi larian pantasnya sebelum Benzema menyempurnakan penalti. Bale menghasilkan gol ketiga, juga menerusi penalti selepas Benzema dijatuhkan pertahanan lawan.

Persoalan ketika ini ialah, adakah Zidane akan menyenaraikan Bale di Itali nanti?

“Kami akan lihat dulu tetapi buat masa ini, saya gembira dengan prestasinya,” kata Zidane.

Bale turut menjaringkan ketika menentang Getafe sebelum Real bertemu Paris Saint-Germain awal bulan lalu.

Pemain berusia 28 tahun itu sudah meledak 10 gol sepanjang 11 penampilan musim ini tetapi Zidane sering meragui kemampuan Bale untuk membantu barisan pertahanan apabila mereka bertemu lawan yang hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 9:44 AM