REAKSI jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. - FOTO EPA-EFE
REAKSI jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane. - FOTO EPA-EFE
AFP

CRISTIANO Ronaldo direhatkan dan ‘watak gantian’ gagal untuk menyinar ketika Real Madrid dipalit kekalahan mengejut 1-0 di laman lawan kepada Espanyol, awal pagi tadi.

Gerard Moreno meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-94 di Stadium RCDE yang menyaksikan barisan Real yang mengalami penggiliran dihukum atas ketumpulan penyudah serta aksi longlai.

Gareth Bale, Marco Asensio dan Isco kesemuanya bergelut, dengan trio berkenaan gagal menyempurnakan peluang untuk membuktikan ketajaman menjelang aksi timbal balik Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), minggu depan. 

Bale jelas bukan satu-satunya pemain Real yang bergelut tetapi pemain berusia 28 tahun itu yang kembali memperoleh kecergasan terbaik mungkin paling terdesak untuk membuktikan kemampuannya.

Selepas mensia-siakan beberapa peluang untuk menjaringkan gol, dan menerima kad kuning pada babak pertama, pemain kelahiran Wales itu kemudian digantikan ketika permainan berbaki sembilan minit.

Pengurus Real, Zinedine Zidane begitupun enggan menuding jari terhadap prestasi individu terutama Bale atau keseluruhan pasukan selepas kekalahan itu.

“Jika kamu tewas di sini hari ini, ia disebabkan segala-galanya tidak menjadi dengan pelbagai alasan, bukan hanya disebabkan oleh pemain atau permainan,” katanya kepada beIN Sports.

Kemenangan menyaksikan Espanyol mendaki ke tangga ke-13  La Liga dengan Real terus tersungkur dan akan ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu, Barcelona jika kelab Catalan itu mengatasi Las Palmas, Jumaat ini.

“Jika keputusan itu bukan yang kami mahukan, jadi ia langkah ke belakang,” kata Zidane. “Saya tidak perlu menyalahkan pemain saya, kami bermain perlawanan itu tetapi kami tidak dapat apa yang kami jangkakan.”

Ketika PSG ketika ini sedang menantikan keajaiban susulan kecederaan yang menimpa pemain bintangnya, Neymar, Zidane turut merehatkan beberapa tonggaknya dengan Ronaldo langsung tidak disenaraikan bagi aksi di Espanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:03 AM