MOURINHO dikritik hebat Carvalhal. FOTO/AFP
MOURINHO dikritik hebat Carvalhal. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Bos Swansea City, Carlos Carvalhal percaya rakan sejawatan di Manchester United, Jose Mourinho menjadi lebih baik “apabila dia bertarung” di sebalik dakwaan keretakan berlaku di Old Trafford.

Mourinho bersifat terbuka dalam kritikannya terhadap beberapa pemain United termasuk pemain ditandatangani dengan rekod perpindahan Paul Pogba dan Luke Shaw, yang diletakkan di bangku simpanan pada babak pertama saingan Piala FA dimenangi ketika berdepan Brighton dan Hove Albion awal bulan ini.

Carvalhal menerima kenyataan dia berkongsi sedikit persamaan dengan rakan senegara Portugal, Mourinho tetapi berkata bekas bos Chelsea dan Real Madrid itu menggunakan pendekatan lebih konfrontasi dan lebih berbahaya apabila dicabar.

“Saya sukakan Mourinho dan dia tahu bahawa saya sukakannya,” kata Carvalhal kepada media British. “Saya menghabiskan masa seminggu di Manchester United ketika Alex Ferguson di sana, dan kemudian seminggu menyaksikan Mourinho di Chelsea. Saya juga ke Real Madrid.

“Saya cuba belajar daripada yang terbaik. Dia ada keyakinan diri yang tinggi, sama seperti saya. Anda perlukannya. Namun dia ada personaliti yang sama sekali berbeza dengan saya. Dia suka bergaduh. Dia suka bergaduh dengan orang. Dan dia sangat bagus ketika bertarung.

“Saya sama sekali berbeza. Saya suka menjauhkan diri dari bergaduh. Saya sukakan kemenangan, tetapi jika seseorang cuba bergaduh dengan saya, mereka akan dapati mereka bertarung dengan diri sendiri.”

Carvalhal sedang menyiapkan Swansea untuk kunjungan ke United Sabtu ini dan sedar kejayaan mengejut amat penting dalam pertarungan mereka untuk kekal dalam Liga Perdana berbaki lapan perlawanan.

Kelab Wales itu kini berkedudukan ke-14 dan tiga mata melepasi zon penyingkiran manakala pasukan tangga kedua, United 16 mata di belakang pendahulu Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 1:58 PM