INSA (kanan) akhirnya sarung jersi Harimau Malaya untuk menentang Mongolia. -Foto JOHOR SOUTHERN TIGERS
INSA (kanan) akhirnya sarung jersi Harimau Malaya untuk menentang Mongolia. -Foto JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rizar Mohd Noor


SELEPAS enggan terburu-buru beraksi bersama skuad kebangsaan musim lalu, pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa akhirnya bersedia menyahut panggilan dan menyarung jersi Malaysia buat pertama kali.

Malah, pemain kacukan kelahiran Sepanyol itu yang tersenarai untuk menjalani bersama skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi aksi persahabatan Kelas A menentang Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini tidak sabar untuk melapor diri, esok.

Menurutnya, dia akan berusaha keras memikat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk berada dalam kesebelasan utama dan menyifatkan sudah sudah tiba masanya untuk membantu pasukan terutama dalam memperbaiki ranking pasukan yang menjunam.

"Selain 13 pemain JDT yang dipanggil, adik saya, Kiko Insa yang kini bermain di Liga 1 Thailand turut tersenarai dan pastinya saya tidak akan kekok walaupun turun pertama kali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

"Jadi, saya akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin bagi membantu pasukan mencipta kejayaan di pentas antarabangsa sekali gus membalas kepercayaan ketua jurulatih," katanya hari ini.

Musim lalu, kelibat pemain tengah JDT itu menarik minat bekas jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada, namun dia memberi alasan belum bersedia untuk menyertai skuad kebangsaan kerana baru sahaja menyertai skuad Harimau Selatan.

Insa juga menegaskan sebagai pemain dia harus memperkemaskan corak permainan dan enggan tercicir dalam senarai pemain untuk aksi menentang Mongolia dan perlawanan terakhir menentang Lubnan pada aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut, 27 Mac ini.

"Bagaimanapun, pada peringkat awal saya perlu mengenali setiap pemain lain dengan lebih dekat dan berlatih bersama mereka untuk memahami corak permainan masing-masing. Ia penting bagi memupuk persefahaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 1:14 PM