Tugas Jaganathan sebagai ketua jurulatih olahraga para negara akan digalas Ahamd Rafee. FOTO NSTP
Tugas Jaganathan sebagai ketua jurulatih olahraga para negara akan digalas Ahamd Rafee. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet para negara Mohammad Ridzuan Puzi terpaksa akur berpisah dengan jurulatihnya R Jaganathan selepas kontrak ketua jurulatih olahraga para negara itu tamat.

Langsung tiada rasa terkilan atau berkecil hati, Jaganathan berkata, sudah sampai masanya untuk beliau mengundur diri dan memberi peluang kepada penggantinya mengambil alih tugas melatih atlet para negara.

Tugas Jaganathan sebagai ketua jurulatih olahraga para negara itu nanti akan digalas Ahamd Rafee Arifin yang sebelum ini bertugas sebagai pembantunya selama hampir empat tahun.

"Saya sudah maklumkan perkara kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MS), Datuk Ahmad Shapawi Ismail bahawa temasya Paralimpik Tokyo adalah tugas terakhir saya.

"Tiada apa yang saya kesalkan. Saya sudah berjaya melahirkan ramai atlet. Juara dunia, Paralimpik, Komanwel dan Asia.

"Saya yakin pengganti saya nanti mampu untuk mengalas tugas itu dan semangat orang muda itu boleh melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing.

"Sudah tiba masanya untuk saya berkongsi pengalaman saya melahirkan lebih ramai jurulatih baru terutama dalam sukan para ini," katanya yang mula terbabit secara serius sebagai jurulatih pada 2007.

Kehadiran Jaganathan dalam sukan para memberi impak besar selepas berjaya membimbing Ridzuan atau dikenali dengan panggilan 'Dik Wan' merangkul emas acara 100 meter T36 Sukan Paralimpik Rio 2016.

Selain itu jurulatih berusia 64 tahun itu turut membimbing atlet seperti Afiq Ali Hanafiah (100m) bergelar juara dunia 2019 dan Nasharuddin Mohamad pemegang rekod para Asia 400m pada 2018.

Biarpun tidak lagi bergelar jurulatih, Jaganathan berkata, beliau akan sentiasa memantau perkembangan atlet-atletnya malah yakin barisan atletnya seperti Ridzuan, Afiq, Nasharuddin serta Mohamad Faizal Aideal Suhaimi akan membawa pulang pingat di Komanwel, Asia dan juga dunia.

Pada sidang media yang berlangsung di MSN itu, Shapawi memaklumkan bahawa Jaganathan akan diberi peranan baru yang akan dibentuk bagi membantu melahirkan lebih banyak jurulatih para negara.

Ia turut dipersetujui oleh Presiden Persatuan Olahraga Para Negara, Mohd Zarrawi Ravi yang menjelaskan Jaganathan bakal memikul peranan baharu sebagai koordinator yang akan menghasilkan lebih ramai jurulatih para.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 8:55 PM