BATSHUAYI (kanan) jaring gol kemenangan Dortmund selepas tampil daripada bangku simpanan. -Foto EPA
BATSHUAYI (kanan) jaring gol kemenangan Dortmund selepas tampil daripada bangku simpanan. -Foto EPA

BERLIN: Michy Batshuayi tampil dari bangku simpanan untuk menyumbat gol kemenangan pada masa kecederaan ketika Borussia Dortmund meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas pencabar kelompok enam teratas Eintracht Frankfurt dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.

Danny Blum kelihatan memastikan keputusan seri buat Frankfurt dengan gol penyamaan pada minit pertama masa kecederaan namun Batshuayi membalas dengan gol keduanya dua minit kemudian.

“Saya berasa amat lega kerana saya tidak menjaringkan gol akhir-akhir ini,” kata Batshuayi, yang tidak menyumbat gol dalam tiga aksi liga sebelum perlawanan awal pagi tadi. “Ia perlawanan yang amat penting hari ini.”

Kemenangan itu mengekalkan Dortmund di tangga ketiga manakala satu lagi aksi awal pagi tadi RB Leipzig seri 0-0 di Stuttgart sekali gus menghalang mereka melonjak ke kelompok empat teratas.

Dortmund hampir mendahului pada minit ke-10 apabila tandukan Andre Schuerrle susulan hantaran silang Christian Pulisic tersasar sedikit dari pintu gol.

Pulisic sekali lagi terbabit apabila Dortmund mendahului dua minit kemudian. Hantaran silang lambungnya mencari Marco Reus namun ia ditampan masuk pertahanan Frankfurt, Marco Russ.

Kembali bertenaga pada babak kedua, Frankfurt akhirnya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-75. Sepakan percuma lencong Jonathan De Guzman menemui Luka Jovic, yang menanduk kencang melepasi penjaga gol Dortmund, Roman Burki.

Dortmund membalas dua minit kemudian apabila Batshuayi berganding baik dengan Pulisic sebelum merembat masuk bola ke penjuru gol.

Ketika masa penuh hampir berakhir, Blum mencuri peluang di depan gol untuk menyumbat apa yang kelihatan gol penyamaan lewat perlawanan. Batshuayi bagaimanapun menemui ruang dalam kotak penalti untuk meledak gol kemenangan dramatik.

Kekalahan itu menyaksikan Frankfurt merudum ke tangga kelima, dua mata di depan Leipzig. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:41 AM